Menteri di JPM Azalina Othman Said seru Ahli Parlimen mengetepikan kepentingan politik kepartian bagi menyokong pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengasingan peranan peguam negara (AG) dan pendakwa raya (PP) memerlukan pindaan menyeluruh terhadap Perlembagaan serta 21 undang-undang berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata pindaan menyeluruh bermakna pengasingan berkenaan tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat, sebaliknya perlu dirancang dengan teliti mengikut sidang Parlimen.

"Pelaksanaannya mungkin mengambil masa setahun kerana terdapat 21 undang-undang berkaitan yang perlu kita bentangkan dan luluskan di Parlimen," katanya kepada pemberita pada Forum Pembaharuan Insolvensi Asia (FAIR) 2026.