Saya angkat songkok kepada Umno sambil ucap tahniah dan syabas kerana berjaya kutip RM50 juta dengan cepat dan pantas bagi membolehkan bekas presiden Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Kita tentu masih ingat Umno mula pungut wang September lalu. Semalam RM50 juta sudah dapat dikumpulkan. Kurang tiga bulan. Satu pencapaian menakjubkan.
Itu sebab saya kata Umno terer. Power. Orang lain terkial-kial cari dana untuk capai sasaran jauh yang lebih kurang daripada jumlah yang Umno kumpulkan dengan mudah. Misalnya, ada banyak NGO bertungkus-lumus cari sumbangan orang ramai dan syarikat untuk umpamanya membiayai pembedahan jantung kanak-kanak. Media juga diminta membantu untuk menghebahkan usaha mereka supaya matlamat tercapai. Usaha itu mungkin membuahkan hasil tetapi ada kala mengambil masa berbulan-bulan atau lebih lama.









