Pasir Mas: Dua wanita ditahan selepas polis merampas kayu gaharu bernilai RM3.47 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baharu Cherang Hangus, Chicha Tinggi, di sini, jam 5 petang semalam.

Serbuan menerusi Op Taring Wawasan itu dilakukan anggota Cawangan Risik, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dibantu Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan hasil intipan dan maklumat awam.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah, stor dan kilang lama bersebelahan kediaman itu menemukan 197 batang kayu gaharu dan 310.8 kilogram kepingan kayu gaharu, selain tujuh tong plastik dan 11 keping dokumen.