KUALA LUMPUR - Wartawan Sinar Harian, Muhamad Tarmize Mohd Nor muncul johan Kategori Media Cetak dan Portal Berita, Berita dan Rencana sempena Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP 2026, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi.Muhamad Tarmize berkata, beliau bersyukur dan tidak menyangka berjaya memenangi anugerah berprestij itu, lebih-lebih lagi penyertaan lain yang turut disenaraikan dalam lima terbaik terdiri daripada pengamal media hebat."Alhamdulillah syukur, tak sangka dapat menang anugerah berprestij ini kerana yang masuk dan pencalonan akhir lima terbaik semuanya hebat-hebat."Tak sangka dapat johan sebab ini kali pertama saya menyertai pertandingan berprestij seumpama ini," katanya ketika ditemui pemberita.Beliau berkata, minat untuk menjadikan penulisan sebagai salah satu medan dakwah menjadi antara perkara yang menyuntik semangatnya untuk terus berkarya.Menurutnya, penulisan bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya menjadi medium mengajak kepada kebaikan, menegur kemungkaran dan menyebarluaskan nilai-nilai baik seperti yang diajarkan Islam.Beliau juga mahu memartabatkan sisipan Sinar Islam Plus dalam akhbar Sinar Harian supaya lebih banyak penulisan berkualiti dapat dihasilkan untuk pembaca.Mengimbas perjalanan kerjayanya, beliau memulakan kerjaya sebagai Editor Syariah di majalah Fardu Ain pada 2011, tahun sama menamatkan pengajian dan bergraduasi.Pada 2013, beliau berkhidmat sebagai Editor Buku & al-Quran di Pustaka Al-Fatih sebelum menyertai Kosmo sebagai wartawan pada 2014.Pengalaman dalam bidang kewartawanan diteruskan apabila beliau dilantik sebagai Ketua Biro Kosmo Perak pada 2017 sebelum menyertai Sinar Harian sebagai Editor Sinar Islam pada 2023.Dari segi pendidikan, beliau merupakan graduan Sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya (UM), manakala pendidikan menengah diperoleh di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulai Chondong, Kelantan.Berkongsi disiplin untuk menjadi penulis dan wartawan yang baik, beliau berkata, seseorang perlu memperbanyakkan pembacaan bahan berkualiti termasuk karya tokoh dan ulama.Tambahnya, pembacaan juga perlu merangkumi sumber rujukan Islam seperti al-Quran, hadis serta kitab-kitab karangan ulama.Bagi kategori sama, Mohd Nazmi Yaakub dari Berita Harian meraih naib johan dengan hadiah RM2,000 dan trofi, manakala Muhammad Basir Roslan dari Bernama menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM1,000 dan trofi.Dua hadiah saguhati masing-masing bernilai RM500 diberikan kepada Latifah Arifin dari Berita Harian dan Muhammad Afiq Mohd Asri dari Bernama.Sementara itu, bagi Kategori Televisyen dan Video Dalam Talian, Berita dan Laporan Khas, pasukan Sawarak Media Group (TVS) yang dianggotai Muhammad Hafeezzur Rahman Muzamir, Muhammad Afiq Johari dan Muhammad Hazim Abdul Mutalib muncul johan dengan hadiah RM3,000 berserta trofi.Mohd Izuandi Jaludin dari RTM Labuan meraih naib johan dengan hadiah RM2,000 dan trofi, manakala Afiey Azaman dari Astro Awani menduduki tempat ketiga dengan hadiah R