JASIN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar berharap semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mengamalkan kempen secara sihat dan beradab bagi mengelakkan permusuhan.Beliau berkata, persaingan politik seharusnya berlangsung dalam suasana harmoni dengan setiap calon saling menghormati, selain mengelakkan tindakan atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan pengundi.Menurutnya, jentera BN sendiri sudah diingatkan supaya sentiasa berfikiran positif dan mengamalkan pendekatan kempen secara sihat tanpa melakukan perkara tidak baik terhadap pihak lawan."Daripada awal, saya memang sudah beritahu jentera saya untuk sentiasa berfikiran baik dan melakukan perkara yang baik-baik."Kita berkempen dan bertanding secara sihat. Siapa pun pihak lawan, jangan buat perkara yang bukan-bukan atau tidak baik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Felda Kemendor, di sini.Khaidirah atau lebih mesra dengan panggilan Dira turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan media sosial sebagai medan menyebarkan perkara negatif sehingga boleh mengundang pertelingkahan antara penyokong parti."Media sosial ini pun sebenarnya kadang-kadang saya risau sebab ada peminat, ada kumpulan-kumpulan ini."Bagi saya, biarlah kita berkempen dengan adab. Masing-masing berusaha, jangan bergaduh-gaduh."Kita berkempen sekarang. Lepas habis kempen, esok kita akan berbual dan kembali kepada rutin biasa kita semula," ujar beliau.Mengulas gerak kerja kempen, Dira yang juga penyandang kerusi DUN Rim berkata, pihaknya sudah memulakan persiapan lebih awal secara tidak rasmi dan tidak hanya tertumpu ketika musim pilihan raya.Jelasnya, sepanjang lima tahun lalu, beliau tidak pernah meninggalkan tradisi turun padang dan mendekati masyarakat bagi menyantuni keperluan penduduk setempat.Katanya, setakat ini, gerak kerja berkenaan sudah meliputi sebahagian besar kawasan DUN Rim khususnya taman perumahan, beberapa kampung serta kawasan Felda termasuk Felda Kemendor.Beliau turut mengadakan beberapa siri program termasuk ceramah berskala kecil yang menerima sambutan sangat baik daripada masyarakat."Saya sangat terharu sebab kita pun risau, kita penyandang. Tapi, Alhamdulillah, penerimaan sangat baik."Jadi, Insya-ALLAH mudah-mudahan nanti semua boleh keluar mengundi pada 14 November nanti," katanya.