PETALING JAYA – Hujan lebat petang ini menyebabkan beberapa kawasan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam dilanda banjir kilat sehingga menjejaskan laluan kenderaan di sekitar kawasan universiti berkenaan.
Menerusi beberapa gambar dan rakaman video yang tular di media sosial, air berwarna keruh dilihat memenuhi jalan raya termasuk kawasan perhentian bas yang menjadi tumpuan pelajar.
Keadaan itu turut menyebabkan beberapa kenderaan termasuk bas universiti dan bas Rapid KL terpaksa melalui laluan yang dinaiki air ketika hujan masih turun dengan lebat.
Rakaman berkenaan turut memperlihatkan air mengalir deras di kawasan perhentian bas, manakala beberapa pelajar dilihat berada di kawasan berbumbung bagi berlindung daripada hujan.









