KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung dakwaan dua anggota polis dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata kertas siasatan itu akan dirujuk untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 6 Oktober untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya, selaras dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Setakat ini, seramai 25 saksi dirakam percakapan terdiri daripada pegawai dan anggota polis, pegawai AKPS, anggota Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas," katanya dalam kenyataan, malam ini.