KUALA LUMPUR: Standard Chartered Saadiq (Saadiq) dan Agrobank menjalin kerjasama bagi memenuhi keperluan pertukaran asing (FX) Islam Agrobank di pelbagai pasaran sekali gus memperkukuh keupayaan institusi kewangan itu dalam menyokong aktiviti perdagangan rentas sempadan sektor pertanian dan makanan.

Melalui kerjasama itu, kedua pihak akan membangunkan penyelesaian digital sepenuhnya dan patuh Syariah bagi menyokong urus niaga spot FX serta penyelesaian mata wang asing berkaitan aktiviti pembiayaan perdagangan Agrobank.

Standard Chartered Saadiq menjadi rakan kongsi antarabangsa pertama Agrobank yang khusus dalam penyelesaian FX patuh Syariah.

Dalam satu kenyataan bersama, penyelesaian itu turut memanfaatkan rangkaian antarabangsa Standard Chartered yang merangkumi 55 pasaran, termasuk ekonomi utama ASEAN bagi membantu Agrobank memperluas keupayaan menyokong keperluan rentas sempadan pelanggannya.