Kuala Lumpur: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) terus memperkukuh hubungan strategik dengan sektor industri bagi memastikan graduan bukan sahaja menguasai ilmu akademik, malah memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Naib Canselor UPTM, Prof Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata, kerjasama rapat antara institusi pengajian tinggi dan industri penting bagi mengenal pasti kemahiran diperlukan majikan yang mungkin tidak diberi penekanan secukupnya dalam pembelajaran di universiti.

Menurutnya, perkongsian kepakaran dan libat urus bersama industri membolehkan universiti mengenal pasti kemahiran kritikal serta keperluan pasaran pekerjaan masa depan bagi memastikan kurikulum yang ditawarkan sentiasa relevan.