KUALA LUMPUR: Peluang menjadi teraju utama filem mungkin membuka pintu kepada populariti, namun bagi bakat baharu, Amirah Razak, perhatian ramai bukan sesuatu yang mahu dikejar, sebaliknya satu fasa yang masih perlu dipersiapkan mental dan emosinya.
Pelakon berusia 27 tahun itu mengakui belum bersedia berdepan perubahan kehidupan sekiranya namanya semakin dikenali menerusi filem Baga: Esok Untuk Siapa arahan Ariff Zulkarnain.
Amirah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Haisyah Abdul Razak, berkata dia masih terharu dengan perkembangan kerjaya seninya ketika ini, apatah lagi tidak pernah menjangkakan peluang sebesar itu hadir dalam perjalanan yang bermula menerusi teater.
"Sejujurnya, saya masih terharu dan tidak percaya dengan semua perkara yang sedang berlaku. Kalau ditanya sama ada sudah bersedia atau tidak, sebenarnya saya belum bersedia.








