Masjid Tanah: Meskipun masih bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, Muhammad Amzar Hakim Nuurul Azmi tidak pernah lelah membantu memudahkan urusan ibunya yang lumpuh separuh badan bila ada kelapangan.
Kesungguhan Muhammad Amzar Hakim, 17, menjaga syurganya itu mendapat perhatian dan pujian warganet selepas ibunya, Marziawati Mahfar, 47, berkongsi video di TikTok.
Menerusi perkongsian berkenaan, Muhammad Amzar Hakim membantu dan ada waktunya mengangkatnya yang tidak dapat berjalan dan bergerak sepenuhnya menggunakan kerusi roda.
Berkongsi kisah itu, Muhammad Amzar Hakim berkata, apa yang dilakukan tidak seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanan dan kasih sayang dicurahkan ibu terhadapnya.








