KUCHING: Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas kelab Korea Selatan, Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sebagai suntikan keyakinan besar buat pasukannya selepas melalui tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Katanya, kemenangan di Stadium Taha Ariffin itu bukan sahaja penting dari segi kutipan tiga mata, malah membuktikan pemain mampu menterjemahkan perancangan taktikal dengan persembahan berkualiti ketika berdepan lawan yang mengamalkan corak berintensiti tinggi.
"Kalau kita lihat perlawanan ini, kedua-dua bermain dengan gaya intensiti tinggi, kita beri tekanan kepada mereka seperti mana kita turut ditekan ketika bermain di Korea sebelum ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan.








