Georgetown: Bot tunda dan sebuah sampan tanpa nombor pendaftaran yang dikendali tiga individu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang, di perairan negeri ini, semalam kerana disyaki menjalankan aktiviti membawa serta memindahkan kargo tanpa lesen sah.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan dilakukan anggota penguat kuasa pada jam 11.40 pagi hasil maklumat dan aduan awam.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua vesel berkenaan dipercayai terbabit dalam aktiviti pemindahan kargo daripada sampan ke bot tunda tanpa memiliki lesen kargo yang sah seperti yang ditetapkan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO)1952.








