Lahad Datu: Dua lelaki yang mengaku bersalah melakukan samun berkumpulan selepas salah seorang daripada mereka menyamar sebagai anggota polis masing-masing dihukum penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hukuman itu diputuskan Hakim Suhailla Selag terhadap Azwan Ibnu, 31, dan Francisco V Dagalea, 32, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan samun terhadap seorang lelaki warga asing sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang berjumlah RM1,050.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berehat sambil bermain telefon bimbit di kaki lima rumahnya di Batu 8, Jalan Silam, di sini kira-kira 8.30 malam, 18 Oktober lalu.
Mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali sebelum Francisco memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis yang kemudian secara tiba-tiba bertindak menggari tangan mangsa.









