PETALING JAYA -Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lapan lelaki warga Bangladesh yang disyaki terbabit dalam kegiatan pemindahan wang secara tidak sah dalam operasi khas di tiga lokasi sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam.
Operasi bermula pukul 2.37 petang itu dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat risikan yang dijalankan selama sebulan.
Menurutnya, semakan awal mendapati dua daripada individu yang ditahan melakukan kesalahan tinggal lebih masa, manakala enam lagi disyaki menyalahgunakan pas masing-masing.






