PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkasa budaya menabung dalam kalangan masyarakat sebagai persediaan awal bagi membiayai pendidikan anak-anak menerusi Simpan SSPN.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, usaha itu diperkukuh menerusi Sambutan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 yang berlangsung dari 25 September hingga 1 November 2026.
“BMS 2026 bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi wadah untuk menyemarakkan budaya menabung sebagai persediaan awal pendidikan anak-anak.
“Melalui Simpan SSPN, PTPTN terus membantu ibu bapa merancang pendidikan anak-anak dengan lebih teratur dan berhemah,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan BMS 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Mydin Bukit Mertajam, baru-baru ini.









