BUKIT MERTAJAM: Di sebalik tema Di Bawah Lautan (Under the Sea) sempena Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026, tersirat mesej untuk ibu bapa memulakan tabungan hari ini supaya anak dapat melangkah ke arah masa depan yang lebih cerah.
Bagi ibu bapa yang menghadiri sambutan BMS 2026 di Mydin Bukit Mertajam, di sini hari ini, mesej berkenaan diterjemahkan menerusi sambutan yang meriah dengan pelbagai kostum berwarna-warni, persembahan kanak-kanak, pertandingan, hadiah dan aktiviti interaktif.
Di sebalik kemeriahan sambutan BMS 2026 itu turut terselit misi lebih penting iaitu menggalakkan rakyat Malaysia membuat persediaan kewangan bagi pendidikan anak sejak usia awal.
Dianjurkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), BMS 2026 diadakan di seluruh negara dari 25 September hingga 1 November, dengan beberapa lokasi terpilih di 14 negeri.










