MINGGU lalu saya ke Ningbo, Zhejiang, China untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Serantau Asia-Pasifik bagi Pusat Kepakaran Serantau bagi Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (RCE) ke-17, atas jemputan di bawah Institut untuk Pengajian Termaju Kemampanan Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU-IAS).
RCE ialah sebuah rangkaian di bawah UNU-IAS yang beroperasi di seluruh dunia dengan tujuan untuk menghimpunkan institusi dan pertubuhan dari pelbagai bidang bagi memacu usaha bersepadu ke arah dunia bermasyarakat lebih mampan.
Seperti persidangan RCE yang lain, jadualnya sangat padat sepanjang hari sehingga berakhir pada malamnya. Inilah detik-detik penting bagi kami dari pelbagai negara untuk berkumpul dan bergaul secara bersemuka untuk berbincang, berkongsi pengalaman, merangka gerak kerja serta mencari jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah utama dalam pergerakan masing-masing.









