DALAM kehidupan yang semakin dipengaruhi media sosial serta teknologi digital, perkataan ‘pelaburan’ semakin mudah menarik perhatian. Tawaran menggandakan wang, memperoleh pendapatan pasif atau mencapai kebebasan kewangan dalam tempoh singkat sering muncul di pelbagai platform.
Namun, tidak semua yang kelihatan seperti peluang pelaburan benar-benar wajar diterima.
Pelaburan bukan sekadar melihat pulangan yang dijanjikan, sebaliknya memahami produk, risiko, pihak yang menawarkan serta kesesuaiannya dengan kemampuan kewangan sendiri.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) secara berkala mengemas kini Senarai Amaran Pelabur yang menyenaraikan entiti, individu, laman sesawang dan produk pelaburan yang tidak dibenarkan.









