bhbiz@nstp.com.my

Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) terus memperluas akses pelaburan hartanah dalam kalangan masyarakat Bumiputera menerusi dana berharga tetap RM1.00 seunit, dengan pelaburan minimum serendah RM100 dan maksimum satu juta, selain mengekalkan tumpuan terhadap prestasi dan kemampanan agihan pendapatan.

Dana yang diuruskan PHB Asset Management Bhd (PHBAM), yang merupakan anak syarikat milik penuh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) itu menyediakan agihan pendapatan dua kali setahun dan membolehkan pelabur Bumiputera mendapat pendedahan kepada hartanah komersial tanpa perlu memiliki atau menguruskan hartanah secara langsung.

Pengarah Urusan Kumpulan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), Mazuki Abdullah @ Muhammad, berkata penubuhan AHB adalah sebahagian daripada usaha memperluas penyertaan Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial menerusi instrumen pelaburan yang lebih mudah diakses.