KUALA LUMPUR – Masyarakat pelbagai kaum di negara ini perlu menyemarakkan semangat kebersamaan dengan menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan untuk memperkukuh perpaduan serta keharmonian negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Bersempena dengan sambutan Deepavali hari ini, beliau berkata perayaan Pesta Cahaya membawa makna kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi keburukan serta harapan mengatasi segala kesulitan.
“Dalam kepelbagaian inilah terletaknya kekuatan Malaysia. Perbezaan bukan alasan untuk kita berpecah, sebaliknya menjadi asas untuk kita saling memahami, menghormati dan memperkukuh perpaduan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.








