SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memperkenalkan program Jom Ngail @ Dataran Seremban, yang mengetengahkan aktiviti casting toman di tengah bandar raya.
Program itu yang pertama seumpamanya di negara ini, malah lebih menarik, MBS mengoptimumkan tapak kolam di tengah bandar raya yang terbiar hampir tiga dekad.
Tapak kolam terbiar hampir 27 tahun itu sebenarnya bekas tapak Sekolah Convent Seremban yang pada asalnya dirancang untuk dibangunkan projek komersial kompleks membeli-belah.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin, berkata ia salah satu program untuk merancakkan semula aktiviti di bandar berkenaan selain mengindahkan kolam terbiar.








