MALAYSIA terkenal sebagai negara yang kaya dengan budaya tersendiri, namun ini tiada alasan bagi pihak universiti untuk tidak membawa penuntut mereka ke luar negara bagi menyelami budaya dan kehidupan dunia luar.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Geologi Gunaan Universiti Malaya (UM), Sadia Balqis Syukri, 22, yang mesra dipanggil Sadia berkata, dia berpeluang menyertai Cultural Exchange Program China-Malaysia yang berlangsung selama dua minggu di Tianjin, China.

Menurut anak kelahiran Pahang itu, program anjuran Universiti Tianjin yang disertai 27 mahasiswa dan lima pensyarah UM itu diadakan bagi memberi pendedahan berkenaan ilmu sains bumi di negara berkenaan.

"Program ini semestinya memberi pendedahan baharu kepada kami semua, kerana tidak semua yang ada di sini (China) ada di universiti.