NAMA Syafiq Kyle boleh dikatakan sudah berada dalam kelas tersendiri. Sejak mula terjun ke industri sekitar 2008, pelbagai aksi lakonannya melekat di hati penonton, ditambah dengan pesona wajahnya yang sentiasa menjadi kegilaan peminat wanita tanah air.

Namun, selepas hampir dua dekad aktif membintangi pelbagai naskhah hebat, Syafiq kini mengambil langkah ke hadapan dengan meneroka sisi baharu dalam industri apabila bergerak sebagai penerbit bawah syarikat produksinya sendiri, Indigo Films.

Menceritakan detik awal pembabitannya di kerusi produser, pemilik nama lengkap Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak mendedahkan semuanya bermula secara tidak dirancang sewaktu dia bekerjasama dengan pengarah, Ariff Zulkarnain.