KUALA LUMPUR: Selepas 16 tahun menanti, atlet negara mungkin bakal menikmati sinar baharu apabila Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dijangka melalui proses semakan semula bagi memastikan kadar insentif yang diterima lebih setimpal dengan kejayaan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Petanda positif itu hadir selepas Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mengakui mengambil perhatian serius terhadap isu SHAKAM yang kembali menjadi perbualan hangat dalam kalangan atlet serta persatuan sukan, sekali gus bersetuju kadar pemberian berkenaan wajar dinilai semula.

Katanya, kadar insentif yang diguna pakai ketika ini sudah terlalu lama tidak berubah dan memerlukan penelitian baharu, selepas semakan terakhir dilakukan pada 2010.