JAKARTA: Seorang kru warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas helikopter dinaikinya terhempas ke dalam Sungai Barito di wilayah Kalimantan Selatan, semalam, ditemukan maut.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Berton SP Panjaitan, mengenal pasti mangsa sebagai Yayan Supyansuri yang bertugas sebagai pegawai pendaratan helikopter.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat Jenamas di Kabupaten Barito Selatan, Kalimantan Tengah, sebelum dibawa ke Banjarbaru di Kalimantan Selatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa bersama dua individu lain menaiki helikopter Super Puma yang disewa daripada syarikat swasta, sebelum pesawat itu terhempas berhampiran Kampung Tabatan di Kabupaten Barito Kuala, Kalimantan Selatan, semalam, ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah dari udara.








