SEBELUM kecanggihan teknologi menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini, setiap perkara harus dilakukan secara kendiri sama ada memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, menyiram tanaman atau mencuci kereta.
Seiring peralihan masa, semua tugasan itu mampu dilakukan secara automasi dan tidak memerlukan terlalu banyak tenaga untuk melakukannya.
Teknologi menjadikan urusan harian menjadi semakin mudah sama ada melakukan tugasan pejabat, mengemas rumah, komunikasi dan bermacam hal lagi.
Inovasi teknologi dalam peralatan elektronik automasi menawarkan pelbagai manfaat dalam kehidupan seharian, khususnya dari segi menjimatkan masa, tenaga dan kos.
Peralatan seperti lampu pintar, penyaman udara automatik, mesin basuh pintar dan sistem kawalan rumah boleh beroperasi secara automatik berdasarkan tetapan mengikut keperluan pengguna.






