Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon senior, Amy Mastura berkongsi pengalaman menarik ketika berganding dengan Allahyarham pelakon Cico Harahap menerusi filem 'box office' Puteri Impian pada 1997 dan sekuelnya, Puteri Impian 2 pada 1998.
Dalam filem genre romantik komedi arahan Aziz M Osman itu, Amy melakonkan watak heroin iaitu gadis kilang yang berangan untuk menjadi puteri (Puteri Nora) dan Cico pula watak Zul yang juga jurukamera dalam naskhah berkenaan.
Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi, 55, berkata, dia tidak ada masalah mendapatkan keserasian dengan Cico walaupun perbezaan usia yang ketara di mana usia arwah jauh lebih muda iaitu kira-kira tujuh hingga lapan tahun darinya.
"Walaupun ibunya adalah nama besar dalam industri seni, arwah Cico seorang anak muda yang sangat baik, merendah diri dan menghormati orang sekeliling.








