KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon anggota Angkatan Tentera (ATM) dan pasangan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, esok memberi kepercayaan kepada calon Pakatan Harapan (PH).

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan berkata, amanah yang diberikan akan digalas dengan iltizam dan tekad untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Melaka.

“Esok, rakan-rakan serta keluarga dari ATM dan PDRM akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Melaka. Dengan rendah hati, saya memohon kepercayaan saudara dan saudari untuk mengundi calon Harapan.

“Undi saudara dan saudari akan menentukan sama ada Melaka dipimpin oleh mereka yang teguh mempertahankan amanah rakyat atau mereka yang sanggup menutup mata apabila amanah itu dikhianati. Kepada Allah SWT kita berserah,” katanya.