Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid Ali, berkata pendaftar jenayah Mahkamah Tinggi mengendalikan urusan dokumentasi kes jenayah patut tampil menjelaskan kesilapan dalam perintah itu.PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid Ali mempertahankan Peguam Negara Dusuki Mokhtar berhubung dakwaan kesilapan perintah mahkamah berkait tahanan rumah Najib Razak, sambil berkata peguam negara tidak patut dipersalahkan atas dokumen disediakan pihak mahkamah.

Rafique yang juga peguam, berkata pihak mempertikaikan kesilapan itu sepatutnya memohon penjelasan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bukannya menuding jari kepada Dusuki atau barisan peguam terlibat dalam kes itu.

Kontroversi tersebut berkisar perintah mahkamah dikeluarkan selepas Najib menjelaskan denda RM50 juta, pada 6 Nov.