PENANTIAN selama tujuh tahun peminat tanah air menyaksikan persembahan secara langsung penyanyi dan komposer antarabangsa, Jason Mraz terlerai menerusi konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur.

Konsert berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada 31 Oktober lalu, menyaksikan 8,000 peminat menghadirinya, sekali gus meraikan kemunculan bintang dari Amerika Syarikat berusia 49 tahun itu.

Membuka tirai persembahan menerusi lagu ikonik You and I Both, Mraz ceria menyapa peminat dengan ucapan, "Apa khabar, Malaysia? It's really good to be back," (gembira dapat berada di sini) yang disambut dengan sorakan gemuruh peminat.

Tampil dengan gaya kasual berkemeja, bertopi dan gitar di tangan, persembahan Mraz bukan hanya berjaya menarik peminat menerusi lirik lagu yang puitis, malah pendengar baharu termasuk dalam kalangan generasi muda.