Saidatul Munirah Azmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menipu berkaitan urusan pembayaran bil dan permit di MPAJ pada 2020 dan 2021.SHAH ALAM: Seorang pembantu tadbir Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menipu dua individu membabitkan wang berjumlah RM12,974.
Saidatul Munirah Azmi, 43, yang berkhidmat selama 21 tahun di MPAJ mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Dia berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana didakwa memperdayakan dua individu berhubung urusan pembayaran bil dan permit di pihak berkuasa tempatan itu.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Mohamad Rafizal Abdul Rahim pada 17 Mac 2020 dengan memperdayakannya supaya mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu menguruskan pembayaran cagaran pelan berjumlah RM2,000 dan permit sementara tahunan sebanyak RM1,254.









