KUALA LUMPUR: Dana Impak oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pertumbuhan syarikat tempatan apabila pelaburan yang digerakkan menerusi dana itu kini mencecah RM2.6 bilion.
Ia sekali gus menyokong sekitar 130 syarikat Malaysia dan syarikat berkaitan Malaysia serta lebih 4,200 bakat di mana 64 peratus daripadanya dalam pekerjaan berkemahiran .
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Dana Impak menjadi pemangkin dalam menarik penyertaan modal dan rakan strategik bersama Khazanah, mencerminkan pendekatan seluruh Malaysia dalam menyokong pertumbuhan syarikat dan usahawan Malaysia.
Beliau berkata, setakat 31 Disember 2025, pelaburan berjumlah RM905 juta yang disalurkan kepada syarikat-syarikat itu telah secara langsung menarik masuk modal luaran berjumlah RM433 juta, bersamaan 48 sen bagi setiap RM1 yang dilaburkan Khazanah.









