Hafiz Hassan berkata perintah mahkamah terdahulu membabitkan Najib Razak bermasalah kerana dalam amalan kes jenayah, perintah mahkamah lazimnya dilaksanakan melalui waran.PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Tinggi menggantikan perintah pelepasan Najib Razak bertarikh 6 Nov menunjukkan tindakan Peguam Negara Dusuki Mokhtar meminta perintah itu diteliti adalah tepat, kata seorang peguam.

Hafiz Hassan berkata ini kerana ia mengandungi banyak kesilapan jelas seperti dibangkitkan peguam lain, sambil menjelaskan dalam amalan kes jenayah, perintah mahkamah lazimnya dilaksanakan melalui waran.

Justeru, Hafiz menyifatkan perintah terdahulu itu bermasalah.

Menurutnya, perintah baharu menjelaskan pembayaran denda RM50 juta tidak membebaskan Najib daripada hukuman penjara, sebaliknya membolehkannya menjalani baki hukuman dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah.