SHAH ALAM: Seorang lelaki yang memukul dan mengugut mangsa kerana memotong barisan di sebuah kedai serbaneka di Mutiara Subang, di sini, baru-baru ini, kini dalam senarai dikehendaki polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu Ahad lalu, daripada mangsa yang juga lelaki tempatan.

"Polis menerima satu laporan berkaitan kejadian mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki tempatan di sebuah kedai serbaneka.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham apabila mangsa menegur seorang lelaki yang memotong barisan ketika membuat pembayaran," katanya dalam kenyataan.