KUALA LUMPUR: Hikayat Fandom berjaya menganjurkan bengkel sulung Hikayat Storyteller Guild (HSG) dari 24 hingga 26 Oktober 2026 di Chow Kit Hotel, Kuala Lumpur, bagi memupuk generasi baharu tukang cerita yang mampu menghidupkan hikayat dan cerita rakyat serta mendekatkan masyarakat dengan warisan ini.
Disokong ArtsFAS, Yayasan Hasanah, bengkel tiga hari dua malam ini menghimpunkan tujuh finalis yang membentuk kumpulan perintis HSG. Berusia antara 20 hingga 35 tahun, mereka dipilih susulan sambutan menggalakkan terhadap permohonan penyertaan yang dibuka pada Ogos lalu.
Para peserta dari Pulau Pinang, Johor, Pahang, Kuala Lumpur, komuniti Orang Asal dan Sabah dibimbing oleh tiga penggiat seni penceritaan berpengalaman, iaitu Cikgu Ean, Ummi Sham atau Samsul Khamariah Hamzah, serta tukang cerita antarabangsa Johnny Gillett aka The Journey Man. Bimbingan mereka membantu para peserta menemukan cara tersendiri sebagai tukang cerita, membina keyakinan dan menyampaikan kisah dengan penghayatan yang menyentuh hati khalayak.








