KUALA LUMPUR – Ucapan ‘selamat pulang Bossku’ dititipkan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menerusi pantun dua kerat di Dewan Rakyat pada Rabu, sehari selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mula menjalani tahanan rumah.Pantun itu disampaikan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu ketika beliau dijemput mengemukakan soalan pertama pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan berhubung pelaksanaan program solar."Soalan Tampin nombor satu, selamat pulang Bossku," katanya ketika memulakan soalan pada persidangan Dewan Rakyat berkenaan.Najib yang juga bekas Perdana Menteri dilapor kembali ke kediamannya di Langgak Duta di sini untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah pada Selasa malam.Ketibaan bekas Pengerusi BN itu kediamannya turut disambut laungan ‘Bossku’ oleh beberapa penyokong yang menunggu di sekitar kawasan tersebut sejak petang.Terdahulu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah baharu yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.Hakim Datuk Aslam Zainuddin membatalkan perintah terdahulu bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan berkaitan dana SRC International berjumlah RM42 juta.