Putrajaya: Luahan tekong utama skuad sepak takraw negara, Mohammad Syahir Rosdi mengenai jurang ganjaran atlet acara berpasukan akhirnya mendapat perhatian apabila kadar Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berkenaan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang bagi pingat emas.
Syahir menyifatkan keputusan itu sebagai perkembangan amat positif, malah mengakui terkejut dengan perhatian diberikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari terhadap perkara yang dibangkitkannya sebelum ini.
"Alhamdulillah, hari ini dapat keputusan yang positif, sangat-sangat positif. Saya pun terkelu, memang tidak tahu nak cakap apa.
"Kami sebagai pemain sangat bersyukur kerana YB Menteri mengambil perhatian terhadap perkara ini. Kenaikan ini bukan hanya untuk sepak takraw, tetapi semua sukan yang membabitkan acara berpasukan," katanya selepas sidang media pengumuman semakan SHAKAM di Menara KBS, di sini, semalam.








