KUALA LUMPUR – Sebanyak 24,291 permohonan Program Solar ATAP dengan kapasiti 391.85 megawatt (MW) diluluskan setakat 15 September lalu sejak pelaksanaannya bermula pada 1 Januari 2026.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan kapasiti kelulusan hampir 190 peratus dalam tempoh empat bulan setengah berbanding hanya 135.92MW yang direkodkan pada 30 April lalu.Katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Solar ATAP dilaksanakan secara terbuka tanpa kuota khusus bagi membolehkan pengguna domestik, komersial, industri serta kategori lain memasang sistem solar untuk kegunaan sendiri."Bagi meningkatkan kemampuan pengguna domestik, kerajaan telah memperkenalkan program SuRIA Home dengan peruntukan RM150 juta bagi membantu mengurangkan kos pemasangan sistem solar di kediaman."Melalui program ini, pengguna yang layak boleh menerima rebat RM600 bagi setiap 1 kilowatt sehingga maksimum RM3,000 bagi pemasangan sistem solar berkapasiti 5 kilowatt," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai pencapaian terkini Solar ATAP dan SuRIA Home serta langkah memperluas akses kepada golongan B40 dan M40 melalui rebat, skim sewaan atau pembiayaan mudah.Fadillah memaklumkan, SuRIA Home menyasarkan penyertaan antara 45,000 hingga 50,000 kediaman sehingga kuota kapasiti 250MW dipenuhi, dengan program berkenaan dijadualkan tamat pada 31 Disember 2026.Katanya, sehingga 15 September lalu, seramai 12,374 pengguna domestik telah menerima rebat berjumlah RM36.2 juta menerusi program berkenaan."Selain rebat langsung, pengguna juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan pemasangan solar melalui model pembiayaan pasaran seperti sewaan solar ('solar leasing') atau sewa beli ('rent-to-own') yang dapat mengurangkan keperluan modal awal."Model sedemikian boleh membantu memperluaskan akses kepada isi rumah yang mempunyai kekangan untuk membayar keseluruhan kos pemasangan secara tunai," jelasnya.Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan terus menilai prestasi kedua-dua program berkenaan termasuk struktur kos pemasangan dan pilihan pembiayaan bersesuaian bagi memastikan manfaat peralihan tenaga dapat diperluas kepada golongan B40 dan M40.Menurutnya, sebarang penambahbaikan akan mengambil kira keberkesanan bantuan, kemampuan fiskal kerajaan serta keperluan memastikan manfaat disalurkan secara telus kepada pengguna yang layak."PETRA juga akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan, pihak utiliti dan industri bagi memudah cara proses pemasangan serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap pilihan pembiayaan dan model perniagaan solar yang tersedia," ujarnya.
Lebih 24,000 permohonan Solar ATAP diluluskan - Fadillah

Key takeaways
Sebanyak 24,291 permohonan Solar ATAP diluluskan dengan kapasiti 391.85 MW hingga 15 September.
- Kapasiti kelulusan Solar ATAP meningkat 190 peratus dalam empat bulan setengah.
- Program SuRIA Home menawarkan rebat RM600 bagi setiap 1 kilowatt sistem solar.
- SuRIA Home menyasarkan 45,000 hingga 50,000 kediaman dengan kuota 250MW hingga 31 Disember 2026.
Summarised automatically by AI from the original article by Sinar Harian. AI can make mistakes, so check the original for details.
Story details
- Published
- By
- RAIHAM MOHD SANUSI
- Section
- BERITA
- Language
- Malay (Malaysia)
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
5 stories on this topic from 4 sources, oldest first.
- Sinar Harian Lebih 24,000 permohonan Solar ATAP diluluskan - Fadillah (this story)









