KUALA LUMPUR: Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion belum dapat diteruskan berikutan rayuan pendakwaan di Mahkamah Persekutuan belum selesai.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 14 Januari depan bagi pengurusan kes lanjut sementara menunggu perkembangan rayuan berkenaan.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan bahawa alasan penghakiman Mahkamah Rayuan masih belum diperoleh bagi melengkapkan rekod rayuan pendakwaan di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata Mahkamah Rayuan menetapkan 25 November ini bagi pengurusan kes untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung perkara itu, manakala satu lagi tarikh sebutan ditetapkan pada 3 Disember.