Mahkamah Rayuan berkata kebimbangan berkait cara sampel dikendalikan dan dipelihara menjejaskan kebolehpercayaan kes pendakwaan terhadap FGV Palm Industries.PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membebaskan FGV Palm Industries Sdn Bhd daripada pertuduhan melebihi had pelepasan efluen yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Azman Abdullah, Noorin Badaruddin dan Meor Hashimi Abdul Hamid membenarkan rayuan syarikat itu, mengetepikan sabitan dan mengarahkan supaya denda RM18,000 yang dibayarnya dipulangkan.

Syarikat itu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 16(1), dibaca bersama Seksyen 16(2) Akta berkenaan, berhubung dakwaan pelanggaran melibatkan pelepasan efluen kilang kelapa sawit di kilangnya di Selancar 2A, Rompin, Pahang, pada 24 Julai 2018.