Beijing: Seorang pembeli dari timur China berjaya memiliki sebuah apartmen di wilayah Heilongjiang pada harga luar biasa, hanya 11 yuan (kira-kira RM6.50), menerusi lelongan sempena kempen jualan Double 11, lapor South China Morning Post.

Apartmen dua bilik tidur berkeluasan 68 meter persegi di tingkat tujuh itu dilelong menerusi platform Alibaba Auction dengan harga permulaan hanya satu yuan dan kenaikan bidaan sebanyak 0.01 yuan (kurang daripada satu sen), sehingga had maksimum 11 yuan (kira-kira RM6.50).

Rekod platform menunjukkan seramai 1,677 pembida mengambil bahagian dengan mengemukakan keseluruhan 1,001 bidaan sebelum lelongan berakhir pada 5 November lalu.

Pembeli tanpa nama dari wilayah Jiangsu-Zhejiang itu berjaya memperoleh unit berkenaan selepas menjadi individu pertama mengemukakan bidaan pada harga maksimum 11 yuan. Harga pembelian dan yuran transaksi platform turut sudah dijelaskan.