Bukit Mertajam: Polis menasihati orang awam supaya berwaspada dengan taktik individu tidak dikenali yang meminta sumbangan wang sebelum bertindak menyamun, susulan kejadian serupa di sebuah stesen minyak di Jalan Samagagah, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun cedera selepas dipercayai diserang suspek yang menggunakan objek besi tajam, sebelum barangan peribadinya dilarikan sehingga kerugian kira-kira RM10,000.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai dilakukan empat suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita, yang disyaki warga asing dari Asia Tengah.









