KONGRES Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) mengambil maklum laporan media mengenai isu penurunan gred sekolah yang turut memberi kesan kepada pembayaran Elaun Tugas Pengurusan Sekolah (ETPS) sebanyak RM120 kepada Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP), khususnya apabila sesebuah sekolah berubah kategori daripada Gred A kepada Gred B atau C.

KONGRES memahami penetapan gred sekolah berdasarkan faktor seperti jumlah murid, penghuni asrama dan pencapaian pendidikan merupakan sebahagian daripada mekanisme pengurusan serta pengagihan sumber Kementerian Pendidikan (KPM).

Sehubungan itu, KONGRES merakamkan penghargaan kepada KPM atas usaha mengemukakan rayuan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 13 Ogos bagi menangani implikasi pembayaran elaun terhadap guru yang terkesan.