Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor melupuskan pelbagai barangan sitaan bernilai RM3.28 juta, termasuk tembakau kunyah bernilai hampir RM2.64 juta, di Bukit Raja, Klang, dekat sini, semalam.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, pelupusan itu membabitkan barangan hasil tindakan penguatkuasaan terhadap pelbagai pelanggaran undang-undang perdagangan domestik.

"Antara nilai sitaan paling signifikan ialah kes membabitkan produk tembakau tanpa asap (tembakau kunyah) sebanyak 647 bungkusan dengan nilai sitaan RM2,639,760.

"Selain itu, ia turut membabitkan produk sabun pencuci yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah bernilai RM213,750, serta pelbagai barangan lain berkaitan pelanggaran cap dagangan dan ketidakpatuhan perundangan perdagangan," katanya dalam kenyataan.