Biarpun teknologi percetakan semakin canggih, kain rentang yang dihasilkan menggunakan tulisan tangan masih mendapat tempat sebagai dekorasi pelbagai majlis dan sambutan perayaan.

Keunikan corak dan tulisan pada kain belacu menjadi daya tarikan, malah rekaannya kini tidak lagi terhad kepada motif klasik dan batik sebaliknya turut menampilkan konsep moden serta minimalis.

Trend itu turut membuka peluang kepada pemuda berusia 26 tahun, Muhammad Alif Aiman Mohd Azuan mengetengahkan kreativiti menghasilkan kain rentang secara manual sehingga mendapat tempahan daripada orang ramai termasuk selebriti tanah air.

Menariknya, graduan Sarjana Muda Pengurusan Acara Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menghasilkan kain rentang sambil meniarap di lantai rumah papan yang menjadi identitinya selepas video proses pembuatannya tular di TikTok.