Bagi pengundi kali pertama, keutamaan mereka ialah peluang pekerjaan, pendidikan, peluang bersosial dan wakil rakyat menepati janji. MELAKA: Di Melaka, keterujaan pengundi kali pertama untuk akhirnya menyuarakan pandangan mereka begitu ketara seiring pelbagai jangkaan mereka.

Malah, ada yang meluangkan masa mengkaji latar belakang calon bertanding dan sebahagian pula mempunyai senarai harapan tersendiri.

Tuntutan mereka berbeza-beza — daripada peluang pekerjaan dan pendidikan, sehinggalah ruang bersosial dan beriadah serta aktiviti yang dapat memupuk perpaduan.

Paling penting, mereka mahu wakil rakyat yang benar-benar bekerja demi kepentingan rakyat. Dalam hal ini, sekurang-kurangnya harapan dan jangkaan mereka sama seperti ibu bapa mereka.