IPOH: Seramai 895 mangsa daripada 314 keluarga di negeri ini dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang berlaku akibat hujan lebat berterusan pada petang semalam.
Jumlah mangsa setakat pukul 4 pagi tadi itu meningkat lebih empat kali ganda berbanding 191 orang daripada 58 keluarga yang direkodkan pada pukul 9 malam tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, daerah Larut Matang dan Selama (LMS) mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 696 orang diikuti Hilir Perak dengan 186 orang dan Kerian seramai 13 orang.
Katanya, antara kawasan yang terjejas di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) ialah Kampung Changkat Larah, Taman Kamunting Mutiara dan Kampung Simpang Halt.








