KUALA LUMPUR: Kerugian membabitkan penipuan dalam talian yang mencecah RM3.8 bilion serta isu pelarian Rohingya antara perkara yang dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan punca kerugian penipuan dalam talian itu serta kadar pemulangan wang kepada mangsa yang masih rendah.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara.
Sementara itu, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) meminta Menteri yang sama supaya menjelaskan langkah jangka panjang kerajaan menangani isu pelarian Rohingya susulan terhentinya proses penempatan semula ke negara ketiga.








