Kuala Lumpur: Sebanyak 1,738 mangsa banjir masih berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Perak petang ini.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang berlindung di tujuh PPS di daerah Kuala Selangor meningkat kepada 1,511 orang daripada 405 keluarga, berbanding 1,498 mangsa membabitkan 402 keluarga pada pagi tadi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang menempatkan mangsa tertinggi, iaitu 433 orang, diikuti SK Dato' Maharaja Lela (393 orang), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (311 orang), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (131 orang) dan KAFA Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (122 orang).
Dua lagi PPS yang beroperasi di daerah itu ialah SRA Batu 8 Ijok yang menempatkan 71 mangsa manakala Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam menempatkan 50 mangsa.








